13,000 guru sandaran terlatih diserap
PUTRAJAYA: Sebanyak 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang kontrak mereka tidak disambung sebelum ini ditawarkan sebagai guru tetap bagi memberi peluang kepada mereka untuk terus berkhidmat.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian mengeluarkan surat tawaran kepada mereka baru-baru ini untuk mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti (KBC) sebelum diserapkan ke jawatan tetap.
“Mereka akan dilantik semula mengikut syarat seperti usia tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010 dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut sebagai GSTT,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 Peringkat Kebangsaan, di Sekolah Menengah Putrajaya Presint 9 (2) di sini, semalam.
Beliau berkata, GSTT lepasan ijazah hanya perlu mengikuti kursus setahun dan bersedia mengajar di tempat lain jika tempat di sekolah lama sudah penuh.
Mohd Puad juga berkata, tahun ini kementerian tidak lagi mengambil GSTT dan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi memberi peluang kepada GSTT sedia ada diserap sebagai guru tetap terlatih.
Isu GSTT timbul apabila kementerian mengambil keputusan tidak menyambung kontrak mereka pada tahun lalu. Ia menyebabkan ramai guru sandaran kecewa dan mendesak kerajaan menimbang semula keputusan itu.Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Manjong, Perak dinobatkan juara kategori pertandingan akhir Bot Lumba RA3, manakala kategori sekolah rendah, SekolahKebangsaan Permatang Kandu, Pulau Pinang. Berita Harian